ANAK KECIL MENANGIS BERGULING DI LANTAI MINTA MAINAN? INI CARA SAYA ATASINYA…

Assalamualaikum dan selamat sejahtera

Bab ajar anak ni, lain mak ayah, lain caranya. Yang paling penting,  mak ayah sentiasa belajar dan cuba untuk didik anak ke arah kebaikan. Mana-mana ilmu keibubapaan yang dipelajari / dibaca / didengari, selidik dahulu, kemudian guna yang baik-baik ikut kemampuan.

Antara masalah yang perlu mak ayah hadapi dan tangani adalah anak menangis guling-guling kat lantai / mengamuk di pasaraya, depan rak mainan sebab naaaak jugak mainan tu. Kena banyak bersabar dan kadang-kadang hati kena kering untuk atasi situasi ini.

Alhamdulillah setakat ini, Afiq dan Arif belum buat hal berguling menangis sebab nak kan mainan. Setakat menangis biasa, jatuh 2 3 titik air mata, itu ada. Antara amalan yang MAMA & PAPA praktikkan :-

#1 TANAM MINAT ANAK PADA BENDA SELAIN MAINAN 

Cinta pertama, selalunya susah dilupakan. Sebab itu MAMA cuba tanamkan cinta/minat pertama anak pada buku. Dari kecil, MAMA selalu bacakan buku pada Afiq dan Arif. Dapat 5 minit sehari, pun okay. Ye, masa anak masih kecil, tak faham apa pun TAPI sebenarnya mereka suka dengar suara dan tengok wajah mak ayah. Cipta ikatan mesra dengan anak. Faedahnya? Anak lebih mendengar kata dan lebih mudah jadi ‘ulat buku’.

Sekarang dah besar, bila pergi mall, “Mama.. Afiq nak masuk bookstore kejap..” (‘sekejap’ sangat). Layankan aje minat dia. Sekurang-kurangnya dia tak minta masuk kedai mainan. He he.

#2 JANGAN TAKUT BAWA ANAK KE RAK MAINAN DI PASARAYA

Ketakutan terbesar ibubapa. “Habislah kalau anak nampak ni, mesti dia mintak , nangis guling-guling kalau tak belikan…” . MAMA dan PAPA tak pernah takut dan berfikiran macam tu terhadap anak-anak. ‘Musuh’ boleh ‘bau’ kalau ‘mangsa’ dia sedang dalam ketakutan, tahu? Lagi sedaya upaya ‘musuh’ akan mengancam. Jadi, jangan takut! He he.

Pergi pasaraya besar atau kedai mainan pun, kami bagi masa untuk Afiq dan Arif bermain di rak mainan. Pegang dan belek mainan yang mereka suka. Semestinya di bawah pengawasan.

Sebenarnya, anak kecil ni bukan beria nak memiliki mainan. Dapat pegang, belek main sekejap, pun mereka dah okay. Anak pegang  mainan tak mahu lepas?Tak apa, temankan dia pegang selama dia mahu (tengok waktu dan keadaan). Biar dia ambil masa untuk ‘memiliki’ sementara mainan tu. Allah, lama mana pun dia akan pegang? End up, dia akan letak juga sebab dah habis minat pada mainan.

#3 BELIKAN JUGA MAINAN

MAMA tak kata tak boleh atau tak ada langsung mainan. Ada belikan juga mainan. Afiq minat trak, lori, lori sampah dan seangkatan dengannya. Adatlah budak kecil suka bermain. TAPI… tak perlu beli banyak. Lebih lagi kalau mainan yang sama. MAMA dan PAPA cenderung untuk sediakan ‘educational toys’ pada Afiq dan Arif.

Pastikan juga kualiti dan ciri keselamatan alat mainan. Dah beli tu, ajarlah anak main dan hargai barang mainan. Itu boleh mengelak dari barang mainan rosak sebab kena baling atau rosak sebab habis semua diceraikan.   Nyatakan / ajarkan sebaik mungkin secara berhemah. Rujuk #1. Jika ikatan kuat, In sha Allah anak lebih mudah terima kata-kata. :-) Nak mainan , boleh. Tapi biar berpada-pada.

*Ada pun koleksi patung hiasan, itu sebab orang lain bagi atau dapat hadiah sebab beli sesuatu.

#4 BERUNDING DENGAN ANAK

Ada waktu bila Afiq dan Arif minta mainan, dan waktu tu MAMA dan PAPA tak boleh belikan, sehabis baik dan teratur kami terangkan sebab-sebabnya. Kadang-kadang MAMA dan PAPA tawarkan benda lain yang dirasakan lebih baik. Kadang-kadang TERmarah juga. He he. Alhamdulillah, Afiq dan Arif boleh terima penjelasan walaupun ada masanya mereka melawan juga. Nak hadap situasi anak melawan? Baca tips berikutnya, #5. :-)

daripada beli mainan, baik bawa anak-anak bermain :-)

Anak ni, bila mak ayah kata “tak boleh!”, terus mereka pandang muka kita, kan? Mereka perlukan penjelasan / sebab kenapa tak boleh. Nyatakan sebaik mungkin secara berhemah. Rujuk #1. Jika ikatan kuat, In sha Allah anak lebih mudah terima kata-kata. :-)

#5 BIARKAN ANAK MENANGIS

Terpakai untuk mak ayah yang hati kering pada keadaan tertentu. Memang tak sampai hati jadinya bila tengok anak menangis. Tapi, biar anak menangis sekarang berbanding kita mak ayah yang menangis di kemudian hari.

Pernah juga Afiq atau Arif menangis nak kan mainan. Apa MAMA dan PAPA buat? Berlalu pergi, tak layan! Kadang-kadang saja menyorok dari pandangan anak. Tapi tetap mengintai takut anak hilang ke cedera ke kan. Memang dia menangis teruk tapi sudahnya, dia gerak dan ikut jejak MAMA dan PAPA. Buat tak tahu je. Selesai masalah!

Apa-apa pun, selalulah berdoa pada Allah agar dipermudahkan urusan dan sentiasa diberi petunjuk dalam mendidik anak-anak. :-)

About Red Linda

Dulu mempunyai blog sendiri redlinda.com namun setelah berkahwin agak kurang berblog dan domain tersebut lupa renew. Isteri kepada owner blog ini dan menjadi second writer untuk blog ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.