Virus Influenza A (H1N1) 27 Ogos 2009

Pesakit Baru : 324
Discaj Keluar : 223
Jumlah Dirawat : 1,446
Positif H1N1 : 217
Kematian : 71

Usaha mengekang penularan wabak H1N1 memerlukan kerjasama semua. Memandangkan cuti sekolah telah bermula, Kementerian Kesihatan Malaysia ingin menggesa ibu bapa supaya mengawasi pergerakkan anak-anak mereka supaya mengelak dari berkunjung ke tempat-tempat yang sesak dengan orang ramai seperti bazaar Ramadhan, rumah ibadat, majlis keramaian, majlis buka puasa atau pusat-pusat membeli-belah, stesen-stesen pengangkutan awam dan pawagam. Ini adalah penting untuk memastikan anak-anak tidak terdedah kepada jangkitan daripada individu-individu yang mengalami simptom influenza di tempat awam.




Ibu bapa mesti bertanggungjawab memastikan anak-anak yang tidak sihat dan mengalami gejala demam atau batuk supaya tidak berada di tempat awam, atau menjarakkan diri (social distancing) daripada orang awam. Selain ibu bapa, individu yang mempunyai gejala ILI walaupun simptom kelihatan ringan, bertanggungjawab untuk tidak menyebarkan jangkitan dengan tidak mengunjungi tempat-tempat awam yang sesak. Ini adalah kerana seorang yang bersimptom jangkitan ILI, masih menyebarkan virus tersebut melalui batuk atau bersinnya, atau cairan daripada batuk atau bersin, walaupun mereka hanya kelihatan mengalami gejala demam dan batuk yang ringan.

Langkah yang bijak dan bertanggungjawab adalah memastikan mereka yang bergejala supaya berehat di rumah. Ini bertujuan untuk mengurangkan penularan kepada orang awam terutamanya golongan yang berisiko tinggi seperti wanita mengandung, obes, asma, penyakit paru-paru kronik, diabetes dan golongan dengan imuniti rendah.

Sekiranya mereka yang mempunyai gejala terpaksa mengunjungi tempat-tempat awam tersebut, mereka mesti sentiasa memakai mask sepanjang masa. Jika batuk atau bersin, tutup mulut dan hidung dengan tisu atau sapu tangan. Buangkan tisu ke dalam bakul atau tong sampah serta basuh tangan anda menggunakan air dan sabun sebelum menyentuh atau bersalaman dengan orang lain. Hanya dengan sikap bertanggungjawab dan kerjasama orang ramai sahajalah penularan penyakit ini dapat dibendung.

Orang awam juga perlu saling menasihati agar individu yang tidak sihat dan mengalami gejala demam atau batuk supaya tidak berada di tempat awam, atau menjarakkan diri (social distancing) daripada orang awam, langkah yang bijak dan bertanggungjawab adalah berehat di rumah.

Untuk maklumat lanjut sila ke portal rasmi Kementerian Kesihatan H1N1

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.