Gangguan Perkhidmatan Internet TM

Telekom Malaysia Berhad (TM) ingin memaklumkan kepada para pelanggannya bahawa perkhidmatan Internetnya sedang mengalami gangguan berikutan kerosakan sirkit pada kabel dasar laut Asian American Gateway (AAG) di Lantau, China dan kabel sambungan tempatan – antarabangsa di Genting Sempah, Pahang yang menghubungkan Malaysia ke Amerika Syarikat (AS).

Berikutan ini, para pelanggan yang melayari Internet buat masa ini akan mengalami sambungan Internet yang perlahan ketika melayari kandungan – kandungan online yang dihoskan di rantau Hong Kong dan AS. Disamping itu, para pelanggan yang menggunakan perkhidmatan – perkhidmatan Protokol Internet (IP) yang lain seperti Rangkaian Persendirian Maya (VPN) serta aplikasi – aplikasi perniagaan kritikal yang dihubungkan ke rantau Hong Kong dan AS juga mungkin akan mengalami gangguan perkhidmatan.

Advertisement

Kerja – kerja membaikpulih kerosakan pada kabel dasar laut sedang berjalan. Walaubagaimanapun, semasa kerja – kerja baikpulih ini berjalan, trafik ke Amerika Utara dan Hong Kong dijangka akan mengalami sedikit gangguan perkhidmatan manakala trafik ke negara – negara lain adalah seperti sediakala. TM akan terus membuat pengumuman mengenai perkembangan kerja – kerja baik pulih yang sedang dijalankan.

Bagi meredakan masalah tersebut, beberapa laluan Internet telah dialihkan melalui sambungan alternatif yang lain bagi mengurangkan kesesakan.

TM ingin menyatakan kepada para pelanggan kami bahawa ia sedang mengambil semua langkah yang perlu bagi memulihkan perkhidmatan komunikasi untuk para pelanggan secepat mungkin.

Pelanggan bolehlah menghubungi TM di talian 100 dan pilih “Perkhidmatan Internet” atau menghantar e-mel ke help@tm.com.my untuk melaporkan sebarang masalah perkhidmatan Internet yang berkaitan.



Leave a Reply